Keputusan Arsenal untuk mengekalkan bintang Chile, Alexis Sanchez, mungkin melibatkan kos sehingga GBP140 juta (RM770 juta).

Perkara itu disahkan oleh pengendali, Arsene Wenger, selepas Gunners menolak cubaan Manchester City untuk mendapatkan khidmat pemain sayap itu dengan nilai GBP60 juta (RM330 juta).

Wenger melepaskan Alex Oxlade-Chamberlain ke Liverpool, namun terlepas peluang untuk memiliki pemain Monaco, Thomas Lemar, selepas bintang Perancis itu menolak untuk bersama Arsenal pada hari terakhir jendela perpindahan.

"Anda mengekalkan Sanchez yang menghampiri tahun akhir kontrak, mengorbankan RM300-400 juta daripada keuntungan dan terpaksa mendapatkan pemain lain di akhir musim dengan jumlah sama.

"Ia adalah satu harga yang besar. Sampai ke satu peringkat, anda perlu membuat keputusan, mengorbankan satu atau dua pemain," kata Wenger.

Dalam masa sama, pengendali dari Perancis itu mengakui bahawa keseimbangan perpindahan pemain kini sudah berubah, terutama selepas Barcelona berjaya mendapatkan Ousmane Dembele dengan nilai EUR105 juta (RM528 juta) dari Borussia Dortmund.

"Kami memiliki 107 pemain di England yang bakal memasuki kontrak tahun akhir. Ia adalah putaran lengkap dan berubah berdasarkan karier yang mereka lalui.

"Jumlah wang yang digunakan kini ternyata bercanggah di antara realiti dan dunia sebenar."