BOURNEMOUTH 2 EVERTON 2

Pengurus Everton, Marco Silva, mengkritik Richarlison yang melakukan tindakan melulu hingga menyaksikannya dilayangkan kad merah ketika seri 2-2 dengan Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.


Pemain sayap Brazil itu, yang telah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan EPL selepas menyertai pasukan daripada Watford, terpaksa meninggalkan padang sebelum tamat separuh masa pertama apabila menanduk Adam Smith.

Reaksi Richarlison itu hadir apabila berlakunya pertukaran kata-kata di antara pemain itu dan Smith hingga dia dihukum dengan layangan kad merah.

"Tindakan yang melulu, sesuatu yang tidak seharusnya dilakukan," kata Silva.

"Ia sesuatu yang perlu dipelajari oleh pemain itu. Situasi sebegini akan hadir dalam perlawanan akan datang.

"Kami perlu mengekalkan mentaliti yang kuat dalam setiap perlawanan kerana ia menentukan keputusan perlawanan."

Everton mendahului perlawanan menerusi jaringan Theo Walcott dan Michael Keane tetapi Bournemouth bangkit dengan jaringan oleh Joshua King dan Nathan Ake pada penghujung permainan.