WOLVES 2 EVERTON 2

Penjaring dua gol Everton, Richarlison, mengucapkan terima kasih kepada "karakter ayah" Marco Silva kerana memberi dia platform untuk menyerlah dalam Liga Perdana.


Pemain sayap Brazil itu menjaringkan dua gol terbarunya ketika seri 2-2 dengan Wolves di Molineux, awal pagi tadi, dengan jaringan kedua hadir selepas rakan sepasukan, Phil Jagielka, dibuang padang.

Ia adalah persembahan yang setimpal dengan £40 juta yang dilaporkan dibayar skuad The Toffees untuk menandatangani pemain berusia 21 tahun itu dari Watford, yang sebelum itu menandatangani Silva 12 bulan lalu.

Pasangan itu kini bersatu semula di Everton dan Richarlison dengan cepat mengucapkan terima kasih kepada pengurus Portugal itu kerana memberikannya peluang beraksi dalam Liga Perdana.

"Saya sangat gembira kerana kedua-dua gol itu hadir dalam perlawanan sangat sukar kerana kami perlu berusaha dua kali ganda," kata bekas pemain Fluminense itu kepada BT Sport.

"Kami bermain dengan kekurangan seorang pemain selepas kad merah dan ia sangat sukar tetapi satu mata lagi. Ia merupakan penampilan pertama yang penting bagi saya.

"Saya tahu tanggungjawab saya dan saya juga tahu bahawa jurulatih telah memberi saya kebebasan untuk bermain bola sepak saya dalam serangan, jadi saya tahu apa yang saya perlu lakukan di padang, saya sangat gembira.

"Saya melihat Marco seperti ayah, dia datang ke Brazil untuk membawa saya ke England dan saya tahu saya akan berterima kasih kepada Marco."

Sementara itu, Silva menegaskan bahawa bayaran besar untuk menandatangani Richarlison seharusnya tidak memberi kesan kepada penilaian persembahannya.

"Apabila sebuah kelab membayar wang itu, ia adalah nilainya di pasaran," katanya. "Seperti semua pemain lain, kami menandatangani bukan kerana mereka bernilai (kurang) wang. Kami percaya kepada mereka semua.

"Dia bermain baik seperti semua (anggota) skuad, penting untuk dia menjaringkan gol dalam pertandingan pertama kami, pertandingan rasmi pertamanya dengan jersi ini."