Pemain sayap Shaktar Donetsk, Bernard, dilihat berada di England untuk melengkapkan perpindahan ke Everton, namun Richarlison menegaskan dia tidak cuba memujuk rakannya, Yerry Mina, untuk turut menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Bernard dilihat di Lapangan Terbang Manchester tengah hari semalam dan dijangka menyertai Richarlison di Everton sebelum jendela perpindahan ditutup lewat malam ini.

Richarlison memuji kelibat pemain berusia 25 tahun itu yang meraih 14 penampilan bersama skuad Brazil dan berasa dia bakal menjadi penambahan yang bagus untuk pasukan bimbingan Marco Silva itu.

"Bernard adalah pemain hebat, beraksi untuk pasukan kebangsaan Brazil dan saya juga mengikuti perkembangannya bersama Atletico Mineiro," kata Richarlison.

"Ketika ini, saya tidak tahu apa-apa tetapi jika dia datang ke sini, dia akan dialu-alukan dan pastinya Bernard akan membantu pasukan. Dia juga seorang pemuda yang baik. Pintu sentiasa terbuka untuknya."

Dalam masa sama, spekulasi bahawa pertahanan Barcelona, Mina, turut menular bahawa dia akan ke Goodison Park.

Richarlison mendedahkan dia adalah rakan kepada pemain Colombia berusia 23 tahun itu tetapi menolak untuk memberi sebarang komen tentang Mina.

"Saya tidak tahu apa-apa.

"Mina adalah pemuda yang bagus. Dia juga seorang penari yang hebat! Apabila dia mewakili Palmeiras, dia sering meraikan jaringan dengan tarian. Kami berkawan dan saya sering bercakap dengannya.

"Saya tidak berbual setiap hari tetapi kami bertukar mesej dan berborak seperti rakan biasa. Saya tidak menyoalnya tentang masa depan kerana itu bukan urusan saya," ujarnya.