“Beri masa kepada Mourinho”.

Itu pandangan bekas pemain Manchester United, Kieran Richardson, berhubung kedudukan pengurus pasukan, Jose Mourinho, yang kian tergugat selepas mencatat dua kekalahan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris.


Richardson, yang merupakan bekas pemain United sejak tahun 2002 hingga 2007, menganggap tidak wajar sekiranya Mourinho dipecat serta-merta.

Peluang harus diberikan terlebih dahulu walaupun pasukan itu mengharungi permulaan terburuk musim dalam tempoh 26 tahun selepas dua kekalahan sewaktu berdepan Brighton and Hove Albion dan Tottenham Hotspur.

Tatkala peluang terakhirnya terletak dalam perlawanan menentang Burnley pada hujung minggu lalu, Mourinho membuktikan kedudukannya selaku pengurus pasukan masih realistik apabila skuad kendaliannya menang 2-0.

Richardson percaya jurulatih dari Portugal itu tetap mampu mengendalikan United dalam mengharungi saingan seterusnya untuk merebut gelaran juara Liga Perdana Inggeris musim ini.

"Mourinho berhak kekal sebagai pengurus United. Musim pertama, Mourinho memenangi dua gelaran. Musim kedua, tiada gelaran. Tetapi kita harus memberikan masa kepadanya kerana saingan musim ketiga beliau berkhidmat bersama United baru sahaja bermula," kata Richardson.