Dani Ceballos mendedahkan bekas penggempur Arsenal, Jose Antonio Reyes, merupakan idolanya ketika kecil dan dia bercakap dengan bapa bekas pemain itu sebelum berhijrah ke utara London.

Bintang skuad B-21 Sepanyol itu akan melalui musim 2019-20 secara pinjaman bersama The Gunners daripada Real Madrid setelah bergelut untuk mendapat tempat dalam skuad utama.

Ceballos sering mengikuti The Gunners kerana Reyes, salah seorang pemain yang memperkuatkan Arsenal sewaktu mengharungi saingan liga tanpa kalah pada musim 2003-04, yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya Jun lalu.

Selepas meminta nasihat daripada bapa Reyes sebelum berhijrah ke Arsenal, dia kini teruja untuk beraksi buat pasukan sama seperti idolanya ketika kecil itu.

"Ini adalah kelab bersejarah yang sering saya saksikan kerana Reyes yang hadir dari bandar sama dan beraksi di sini," katanya.

"Dia mencipta sejarah bersama kelab ini, memenangi kejuaraan liga, jadi ia satu langkah penting dalam karier saya untuk hadir ke sini.

"Saya bercakap dengan bapanya sebelum ke sini dan dia memberitahu saya tidak perlu berfikir dua kali kerana ini adalah kelab yang indah. Reyes melalui detik yang hebat di sini.

"Apabila saya hadir ke padang latihan, saya melihat gambarnya dan ia benar-benar mengujakan saya kerana dia adalah wira saya ketika kecil. Berada di kelab di mana dia mencipta nama adalah satu langkah besar. Saya harap dapat menjadikan kelab ini lebih besar," ujarnya.

Ceballos berharap dapat melakukan penampilan pertama menjelang aksi Piala Emirates berdepan Olympique Lyon esok.