Setiap pasukan yang menduduki kelompok enam teratas Liga Perdana Inggeris meneruskan kemaraan dalam saingan Piala FA tetapi aksi pusingan ketiga tetap menampilkan kejutan.

Manchester United, Chelsea dan Arsenal masing-masing meraih kemenangan tatkala tiada antara mereka yang menyamai rekod 'kenduri gol' 7-0 yang dicatat Tottenham Hotspur ke atas Tranmere Rovers kelmarin.

United mengekalkan rekod kemenangan di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer hasil gol daripada Juan Mata dan Romelu Lukaku untuk mengatasi Reading 2-0 sambil dua gol daripada Alvaro Morata memberikan kemenangan buat The Blues ke atas Nottingham Forest, juga 2-0.

Dalam satu aksi lewat, Arsenal bertandang ke Blackpool dan pemain remaja, Joe Willock, mencatat dua jaringan dalam kemenangan 3-0.

Bagaimanapun, kejutan berlaku di Gillingham di mana kelab Liga Satu itu mengejutkan wakil Liga Perdana Inggeris, Cardiff City, sementara Bristol City menunjukkan jalan keluar buat Huddersfield Town.

Bluebirds tewas, Huddersfield tersingkir

Elliot List menemui sasaran buat Gillingham sembilan minit sebelum tamat sambi Cardif yang dikendalikan Neil Warnock tidak mampu bangkit walaupun menurunkan skuad utama.

Huddersfield juga tersingkir akibat kekalahan 1-0 setelah Josh Brownhill menyumbat gol tunggal perlawanan ketika permainan berbaki 18 minit.

Southampton masih berpeluang untuk ke pusingan keempat tetapi mereka berdepan aksi ulangan di laman sendiri menentang Derby County selepas membenarkan dua jaringan pendahuluan dalam babak pertama dinafikan dengan keputusan 2-2 di Pride Park.

Dalam masa sama, Matt Ritchie menyelamatkan maruah Newcastle United untuk meraih keputusan 1-1 berdepan Blackburn Rovers.

Selain kelab Liga Perdana Inggeris, kejutan terbesar yang berlaku dalam saingan Piala FA setakat ini adalah penyingkiran Ipswich Town yang tewas 1-0 di Accrington Stanley sambil seteru utama, Norwich City, turut kalah dalam aksi penuh dramatik di laman sendiri di tangan Portsmouth menerusi gol dalam waktu kecederaan.

Drama VAR di Turf Moor

Berbekalkan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam enam perlawanan yang melibatkan kelab Liga Perdana Inggeris semalam, sesetengah pasukan melalui pengalaman pertama.

Manchester United menyaksikan jaringan Fred dinafikan akibat ofsaid, hanya untuk melihat ulang tayang kesalahan dan penalti diberikan, yang disempurnakan oleh Mata tetapi drama lebih menarik berlaku dalam kemenangan 1-0 Burnley ke atas Barnsley.

The Clarets menyangka mereka telah diberikan sepakan penalti dalam babak pertama di Turf Moor tetapi ia sekadar untuk mendakwa Matej Vydra berada dalam keadaan ofsaid. Chris Wood menjaringkan sepakan penalti dalam waktu kecederaan susulan kesalahan kedua.

Pengurus Burnley, Sean Dyche, berkata: "Saya peminat kepada konsep itu tetapi untuk penalti pertama, saya rasa waktu untuk mendapatkan keputusan adalah satu perkara yang besar.

"Pengadil membenarkan sepakan penalti dan saya tahu kami belajar tentangnya. Namun, saya rasa jika pengadil mendapatkan bola dan berjalan di luar kawasan penalti, mungkin tidak akan ada kesan."

Laluan kelab Liga Perdana Inggeris

Brighton and Hove Albion, West Ham, Everton dan Crystal Palace masing-masing mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya tatkala The Seagulls menewaskan Bournemouth 3-1 selepas meraih dua jaringan pantas babak kedua.

West Ham, Everton dan Palace tampak sedikit bergelut tatkala The Hammers terpaksa menunggu sehingga waktu kecederaan untuk Andy Carroll menambah gol pembukaan Marko Arnautovic dalam kemenangan 2-0 ke atas Birmingham City.

The Toffees kendalian Marco Silva meraih jaringan awal menerusi Ademola Lookman dan Bernard tetapi gagal menambah kelebihan selepas itu untuk sekadar mencatat kemenangan 2-1 ke atas Lincoln City.

Palace meraih gol lewat menerusi Jordan Ayew pada minit ke-86 ketika berdepan Grimsby Town yang beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-88 sebelum tewas di Selhurst Park.