Alex Ferguson percaya rekod Arsene Wenger dalam mengurus perlawanan Liga Perdana Inggeris tidak akan dapat diatasi.

Bos Arsenal itu mencatat 811 perlawanan dalam jadual Liga Perdana ketika pasukannya seri 1-1 dengan West Brom di The Hawthorns awal pagi tadi, mengatasi penanda aras yang ditetapkan oleh pesaing lamanya, Ferguson, di Manchester United.

Wenger mengurus skuad Gunners selama lebih 20 tahun, memasuki era yang menyaksikan pemecatan jurulatih menjadi perkara biasa.

"Saya memuji Arsene (Wenger) yang mengatasi rekod saya mengurus 810 perlawanan Liga Perdana," kata Ferguson menerusi Persatuan Pengurus Liga.

"Ini adalah satu pencapaian hebat yang memerlukan standard dedikasi tinggi dan pengurusan profesional untuk dicapai. Saya pasti rekodnya tidak akan diatasi.

"Tahniah kepada kerjaya yang luar biasa dan khidmat hebat untuk bola sepak dan Arsenal FC," katanya.