LIVERPOOL 4 MANCHESTER CITY 3

Liverpool menamatkan rekod tanpa kalah yang dipegang Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas menundukkan skuad kendalian Pep Guardiola itu 4-3 di laman sendiri, awal pagi tadi.

Kekalahan City di Anfield juga menyaksikan The Citizens terus kempunan untuk mencipta kemenangan di depan penyokong The Kop selepas kali terakhir melakukannya pada Mei 2003.

Anak-anak buah Jurgen Klopp mempamerkan kesungguhan untuk meneruskan rentak tanpa tewas kepada 18 perlawanan dalam semua kejohanan apabila membuka tirai jaringan ketika permainan berusia sembilan minit menerusi rembatan leret Alex Oxlade-Chamberlain.

Leroy Sane menyamakan kedudukan buat pelawat menerusi percubaan jarak dekat menewaskan Loris Karius untuk menjadikan kedudukan 1-1 menuju waktu rehat.

Bersambung dalam babak kedua, penguasaan bola yang ditampilkan oleh Liverpool dan asakan bertali-arus mereka memberikan hasil pada minit ke-59 apabila Roberto Firmino bijak menyempurnakan bola lorongan Oxlade-Chamberlain.

Dua minit kemudian, Liverpool terus mengganas, kali ini menerusi Sadio Mane yang bijak melihat kepincangan pertahanan City sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kiri tepat ke penjuru gawang tatkala Ederson Moraes tidak mampu menyelamatkannya.

Kesilapan Ederson yang gagal mengeluarkan bola hantaran Mohamed Salah kepada Mane dengan kemas membolehkan pemain sayap Mesir itu tenang melambungkan bola memasuki gol pelawat bagi menjadikan kedudukan 4-1 buat Liverpool pada minit ke-67.

Bernardo Silva cuba memberikan sedikit harapan buat anak buah Guardiola dengan jaringan pada minit ke-83, sebelum hantaran Sergio Aguero dari sebelah kiri membolehkan Ilkay Gundogan mendada bola sebelum menolak masuk gol ketiga buat Citizens.

Bagaimanapun, segala-galanya sudah terlambat untuk mengelakkan City daripada kekalahan pertama di England pada musim ini selepas mengharungi 23 perlawanan.

Liverpool pula kini berada di tangga ketiga liga, berkongsi 47 mata dengan pasukan tangga kedua, Manchester United, serta Chelsea yang kini menduduki tempat keempat.