Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl, percaya rekod jaringan terpantas Shane Long dalam sejarah Liga Perdana Inggeris tidak akan dapat diatasi dalam waktu terdekat.

Long melakar sejarah itu selepas menjaringkan gol sepantas tujuh saat pertama ketika Southampton terikat 1-1 dengan Watford di Vicarage Road, awal pagi tadi, yang membantu skuad kendalian Hasenhuttl itu menghindari zon penyingkiran.

Rekod 10 saat Ledley King -- yang dilakar pada 2000 -- diatasi Long ketika pemain kebangsaan Republik Ireland itu memberikan tekanan kepada Craig Cathcart yang cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sebelum melakukan rembatan yang melepasi jangkauan penjaga gol Watford, Ben Foster.

Long yang ditemui selepas perlawanan berkata: "Pengurus mahukan kami melakukan permulaan pantas bagi meletakkan mereka dalam keadaan tertekan. Ia rekod yang baik untuk saya."

Dan Hasenhuttl menghamburkan pujiannya terhadap Long dengan berkata kepada wartawan: "Saya fikir ia amat hebat.

"Ia petanda yang baik selepas perlawanan Sabtu lalu di mana saya tidak gembira dengan aksi kami yang tidak cukup agresif dalam separuh masa pertama.

"Saya berasakan mereka mendengarnya dengan baik, terutama Long.

"Dia amat pantas dalam menyerang.

"Cara mendapatkan bola itu satu perkara, namun cara dia menyudahkan jaringan itu juga satu perkara.

"Dia membawa imej pemain yang tidak banyak menjaringkan gol, namun dalam empat perlawanan terakhir, dia menjaringkan tiga gol.

"Dia memaparkan persembahan yang amat-amat luar biasa dan saya amat gembira dengan apa yang dia lakukan.

"Bukan mudah untuk melakar rekod seperti itu.

"Peluang terbaik adalah dengan mencuba dari tengah padang.

"Itu sahaja cara untuk memadam rekod itu kerana untuk menjadi lebih pantas, saya berasakan ia amat mustahil," katanya.

Watford menyamakan kedudukan menerusi Andre Gray pada lewat permainan.

Gray meledak gol pada minit ke-90 untuk memastikan satu mata diraih skuad kendalian Javi Gracia itu bagi memintas Everton di tangga ketujuh liga.

"Kami bolos dalam perlawanan lalu dengan dua jaringan seperti itu," kata Gracia.

"Namun, jika bercakap mengenai pemain seperti Ben Foster dan Craig Cathcart, mereka sentiasa menumpukan perhatian.

"Adakalanya perkara seperti ini boleh berlaku dan anda tidak akan tahu mengapa ia terjadi.

"Saya yakin pemain saya akan memberikan lebih perhatian dalam perlawanan yang akan datang bagi mengelakkan kesalahan seperti itu berulang.

"Adakalanya ia akan terjadi, namun kami akan melakukannya dengan lebih baik lagi bagi mengelakkan kesalahan seperti itu berulang pada masa akan datang," katanya.