Manchester United berhasrat untuk menandatangani seorang pemain tengah sebagai pengganti Michael Carrick pada akhir musim ini, demikian dedah pengurus, Jose Mourinho.

Pemain veteran England, Carrick, 36, bakal bersara pada akhir musim ini sebelum berperanan dalam kakitangan kejurulatihan di United.

Paul Pogba, yang menjadi perhatian sejak kebelakangan ini, tiba pada musim pertama kendalian Mourinho manakala Nemanja Matic dipancing dari Chelsea sebelum kempen 2018.

Begitupun, Mourinho mengulangi hasratnya untuk menandatangani perancang tengah yang lain bagi meringankan tekanan terhadap Pogba sehingga United dikaitkan dengan Sergej Milinkovic-Savic dan pemain Nice, Jean Michael Seri.

"Kami perlu menandatangani pemain tengah kerana kami akan kehilangan Michael Carrick," kata Mourinho sebelum pertembungan Piala FA di Huddersfield Town, hari ini.

"Sudah tentu, kami memerlukan keseimbangan. Apabila ada yang mengatakan bahawa kami akan membeli penyerang, pemain sayap, kemudian melepaskan beberapa pemain, itu hanyalah dua bulan lalu.

"Anda boleh menuduh tentang banyak perkara tetapi anda tidak boleh mengatakan saya berbohong kepada anda.

"Apabila saya tidak mahu mengatakan sesuatu, saya tidak mengatakannya tetapi saya tidak membawa anda ke arah lain.

"Apabila saya memaklumkan kepada anda beberapa bulan lalu bahawa kami tidak mahu menandatangani mana-mana penyerang atau pemain sayap dan, ya, kami cari dan kami akan cuba untuk menandatangani pemain tengah, saya memberitahu anda tentang ini dua bulan lalu."