Pep Guardiola berdepan pertuduhan Persatuan Bolasepak (FA) England berhubung pemakaian reben kuning di bajunya semasa mengendalikan perlawanan sebagai suatu bentuk sokongan terhadap tahanan politik di wilayah Catalonia.

Pengurus Manchester City itu mengenakan reben kuning itu susulan penahanan Jordi Sanchez dan Jordi Cuixart yang menyerahkan referendum pembebasan Catalan pada Oktober lalu –- pungutan suara yang dilabel tidak sah oleh kerajaan yang berpusat di Madrid.

Dalam satu kenyataan, FA menyebut: "Pep Guardiola berdepan pertuduhan memakai sesuatu yang membawa mesej politik, khususnya reben kuning yang melanggar etika FA dan peraturan pakaian.

"Dia mempunyai sehingga 5 Mac, jam 6 petang (waktu tempatan) untuk menjawab pertuduhan ini."

Sepanjang tempoh itu, City akan mengharungi tiga perlawanan, termasuk penentuan kejuaraan Piala Liga Inggeris (EFL) berdepan Arsenal (awal pagi Isnin), kunjungan ke Stadium Emirates untuk aksi Liga Perdana (awal pagi Jumaat) serta bakal menerima kunjungan Chelsea di Stadium Etihad, hujung minggu depan.

Guardiola bersuara lantang terhadap pembebasan Catalan dan ia merupakan pertuduhan kedua terhadapnya berkaitan isu politik.

Dalam sidang media sempena perlawanan akhir EFL, bekas pengendali Barcelona itu mengesahkan pihak berkuasa Sepanyol, Guardia Civil, telah menggeledah pesawat peribadi keluarganya ketika mendarat di Lapangan Terbang El Prat, awal minggu ini.

Laporan di Sepanyol mendakwa pihak berkuasa itu sedang memburu Presiden Catalan, Carles Puigdemont, yang hidup dalam buangan di Belgium sejak Oktober lalu.

"Itulah yang diberitahu oleh isteri saya. Ia berlaku seperti yang dilaporkan di media," kata Guardiola kepada pemberita.

Disember lalu, Guardiola bersedia menghadapi sebarang hukuman, malah daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semata-mata kerana menyatakan pendiriannya membela pejuang yang menuntut pembebasan Catalonia.