Adnan Januzaj melengkapkan perpindahannya dari Manchester United ke Real Sociedad dengan yuran sebanyak EUR11 juta.

Pemain berusia 22 tahun itu memeterai kontrak selama lima tahun bersama kelab LaLiga itu selepas lulus pemeriksaan kesihatan.

Laporan mengesahkan persetujuan kedua-dua kelab, dengan United mengumumkannya dalam laman sesawang rasmi kelab: "Adnan Januzaj sudah menyempurnakan perpindahan dari Manchester United ke Real Sociedad.

"Jose Mourinho membenarkan Adnan untuk menghabiskan musim lalu dipinjamkan ke Sunderland dan penyerang berusia 22 tahun itu mengambil keputusan sukar untuk berpindah ke San Sebastian.

"Kami semua di Manchester United mengucapkan selamat maju jaya kepada Adnan dalam karier yang seterusnya."

Pengurus pasukan, Jose Mourinho, dilaporkan menegaskan klausa pembelian semula diletakkan dalam kontrak pemain itu biarpun kedua-dua kelab enggan mendedahkan butiran kontrak berkenaan.

Januzaj mula menjadi perhatian apabila diberi peluang oleh David Moyes pada musim 2014.

Dia gagal menyerlah semasa dipinjamkan ke Borussia Dortmund pada 2015 sebelum kembali ke Old Trafford di bawah bimbingan Louis van Gaal selama beberapa bulan.