MANCHESTER UNITED 2 ANDERLECHT 1
(United mara dengan agregat 3-2)


Marcus Rashford mengakui Manchester United memilih jalan sukar selepas memenangi perlawanan dramatik ke atas Anderlecht dalam masa tambahan aksi suku akhir kedua Liga Europa, awal pagi tadi.

Penyerang United itu mencetak gol kemenangan pada minit ke-107 di Old Trafford dan sebelum itu dia mencipta peluang buat gol pembukaan Henrikh Mkhitaryan pada babak pertama sebelum Sofiane Hanni mengikat kedudukan buat pasukan pelawat.

Rashford merupakan salah seorang daripada barisan pemain United yang gagal menyudahkan deretan peluang terhidang tetapi skuad bimbingan Jose Mourinho akhirnya lega apabila meraih kemenangan 2-1 untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 3-2.

"Apa yang kami boleh lakukan adalah terus mencuba untuk mencipta peluang dan itulah yang kami terus lakukan," ujar Rashford kepada BT Sport.

"Kami kembali mengasak mereka pada babak kedua dan mula bergerak sebagai sebuah pasukan, itulah yang diperlukan ketika itu.

"Kami mempunyai banyak peluang dan boleh menjaringkan banyak gol tetapi kadang-kadang permainan berlangsung seperti itu. Kami mendapat satu pada akhirnya dan sekarang, semua orang berasa gembira.

"Anda hanya perlu meneruskannya dan berharap anda mendapat satu lagi peluang. Kami telah melakukannya dengan cara yang sukar tetapi tidak apa yang yang lebih penting ketika ini."

Sementara itu, pemain tengah Red Devils, Michael Carrick, gusar kerana United banyak mensia-siakan peluang pada separuh masa kedua.

"Kami mencipta beberapa peluang dan gagal menyudahkannya -- kami fikir ia mungkin salah satu malam yang tidak menjadi," katanya selepas kemenangan hadir di samping berita kecederaan Marcos Rojo dan Zlatan Ibrahimovic.

"Kami tidak bermula dengan baik kerana kami tidak mengambil kesempatan ke atas gol. Tetapi, kami fikir inilah yang kami harus lakukan dalam perlawanan memburu gelaran.

"Orang ramai berkata, 'Adakah anda akan memberi keutamaan kepada kempen liga atau kejuaraan?' Kami perlu lebih berbisa. Kami perlu mempunyai tanggungjawab untuk berbuat demikian. Kami masih berpeluang dalam kedua-dua saingan.

"Perlawanan seperti ini apabila anda dapat mara, ia sesuatu yang bagus. Terdapat keyakinan yang tinggi dalam skuad ini, suasananya dan kami berharap dapat meneruskannya.

"Ia berita yang mengecewakan (kecederaan yang menimpa Rojo dan Ibrahimovic). Kami telah mengharungi banyak perlawanan. Mudah-mudahan ia tidak terlalu serius kerana mereka adalah dua tonggak penting."