Rashford: Penyokong United patut terima sesuatu lebih baik

By Staff Writer 8 October 2019
Rashford: Penyokong United patut terima sesuatu lebih baik
Penyokong Manchester United patut menerima sesuatu yang lebih baik berbanding prestasi buruk pasukan itu, kata penyerang kelab, Marcus Rashford.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu tewas 0-1 kepada Newcastle United kelmarin untuk terperosok di tangga ke-12 Liga Perdana Inggeris.

The Red Devils kini hanya dipisahkan dua mata daripada zon penyingkiran dengan penjaga gol, David de Gea, berkata kepada Sky Sports bahawa United kini sedang mengalami "waktu paling sukar" sejak dia menyertai pasukan itu pada 2011.

Penjaga gol Sepanyol itu menyifatkan prestasi United sebagai "sesuatu yang tidak dapat diterima" sementara Solskjaer bertanggungjawab sepenuhnya selepas hanya meraih 17 mata daripada 16 perlawanan liga sejak dilantik secara tetap Mac lalu.

Rashford turut mengalami masalah prestasi dengan hanya menjaringkan satu gol sejak menghasilkan jaringan berganda ketika menewaskan Chelsea 4-0 dalam perlawanan pembukaan.

"Anda tidak dapat menyorok dalam bola sepak dan beberapa minggu lalu tidak cukup baik buat kami," ciapnya dalam Twitter.

"Sebagai penyokong United, ia amat menyakitkan dan anda layak untuk menerima yang lebih baik.

"Kami sedar kami perlu memperbaikinya dan itulah fokus utama kami sebagai satu pasukan dan satu kelab," katanya.

United sedang mengalami krisis kecederaan pemain dan tonggak tengah, Paul Pogba, antara yang terlepas kunjungan ke Newcastle.

Pemain kebangsaan Perancis itu tidak menyertai skuad negaranya dalam kempen kelayakan Euro 2020 dan menjelaskan dalam kiriman media sosial bahawa dia sedang fokus untuk memulihkan diri.

"Mereka kata usaha keras akan mendatangkan hasil, bagaimana pula dengan usaha keras di tengah panas?" tulisnya dalam Instagram berserta rakaman video ketika dia sedang bersenam di Dubai.

"Kita akan lihat -- ia pemandangan yang indah."

Perlawanan pertama United selepas waktu rehat antarabangsa ialah dengan menantikan kunjungan Liverpool, yang memenangi 17 perlawanan Liga Perdana berturut-turut dan berkelebihan lapan mata di kedudukan teratas.

About Author

Staff Writer

Comment