Bos Manchester United, Jose Mourinho, menyifatkan Marcus Rashford sebagai "seorang kanak-kanak yang jatuh cinta dengan bola sepak" selepas sepakan percumanya menewaskan Celta Vigo.

Penjaga gol Celta, Sergio Alvarez, terpedaya dengan tindakan pemain berusia 19 tahun itu dalam situasi bola mati pada babak kedua untuk memastikan United meraih jaringan tunggal sebagai bekalan gol di tempat lawan dan kembali ke Old Trafford untuk menghadapi perlawanan kedua separuh akhir Liga Europa, minggu depan.

Rashford telah menjaringkan empat gol dalam tempoh kurang sebulan, termasuk kemenangan dramatik dalam masa tambahan ke atas Anderlecht di peringkat suku akhir, dan prestasinya ketika ini dianggap penting susulan kecederaan yang menimpa Zlatan Ibrahimovic.

Dan Mourinho memuji dedikasi pemain antarabangsa England itu kerana jaringannya di Balaidos itu cukup berharga.

"Marcus Rashford adalah seorang kanak-kanak berusia 19 tahun yang jatuh cinta dengan bola sepak," kata Mourinho kepada BT Sport.

"Dia adalah seorang kanak-kanak yang kekal meneruskan latihan selama setengah jam lebih untuk berlatih mengambil sepakan percuma dan menantikan peluangnya.

"Ia adalah mentalitinya. Dia bekerja dan bekerja dan terus bekerja. Dia sangat matang, jadi mari kita ketepikan usianya kerana apa yang penting bukan usia tetapi kualiti."

Mourinho berkata dalam sidang media selepas perlawanan: "Dia bekerja keras dan mencetuskan masalah ke atas Celta. Dia melakukan percubaan hebat dalam separuh pertama dan kemudian menyempurnakan sepakan percuma -- dia bekerja setiap hari dan dia suka bekerja.

"Kadang-kadang, sejurus sesi latihan selesai, dia akan terus berlatih secara individu dengan pembantu saya. Sepakan percumanya adalah benar-benar bagus dan saya fikir, penjaga gol itu tidak mempunyai peluang kerana bola itu benar-benar deras."

Rashford mencetuskan debaran kepada United buat seketika apabila kelihatan terhincut-hincut sehingga terpaksa digantikan oleh Anthony Martial, namun Mourinho kelihatan tidak terlalu gusar.

"Dia memulakan permainan dengan sedikit masalah dan ketika perlawanan berlanjutan, dia mula berasa kesannya," kata Mourinho.

"Martial cergas dan dia terpaksa tampil dalam 10 atau 15 minit terakhir di mana kami fikir, kami masih boleh menjaringkan lebih banyak gol berdasarkan peluang-peluang yang terhidang."