Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri, menggesa anak buahnya supaya mengulangi kejayaan dalam Liga Juara-Juara (UCL) menjelang aksi Liga Perdana Inggeris berdepan Southampton pada Ahad.

The Foxes memenangi kedua-dua perlawanan dalam kempen UCL, yang terbaru apabila menewaskan Porto 1-0 untuk mendahului Kumpulan G.

Di sebalik prestasi cemerlang The Foxes di pentas Eropah, mereka tewas 4-1 kepada Liverpool dan Manchester United dan kini menghuni tangga ke-12, dengan hanya meraih tujuh mata selepas enam perlawanan.

Ranieri mahu pemain-pemainnya kembali menemui rentak permainan seperti musim lalu yang menyaksikan mereka membuat kejutan memenangi takhta liga.

“Kami berdepan tugas sukar berdepan Southampton. Kami gagal mempamerkan aksi yang cemerlang dalam aksi Liga Perdana, tetapi dalam UCL kami bermain dengan baik, jadi saya mahukan aksi yang lebih konsisten daripada pemain," jelas Ranieri.

"Aksi yang konsisten merupakan kunci kejayaan kami musim lalu dan saya mahu pemain- pemain saya untuk mengulangi semangat juang ketika perlawanan lepas."

Ranieri menjangkakan perlawanan yang sukar berdepan The Saints selepas menyaksikan lawan mereka itu seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Europa dengan Hapoel Be'er Sheva.

"Mereka telah bermain dengan baik, mereka mengawal permainan dengan baik serta melakukan beberapa serangan."

Beliau mendedahkan Kasper Schmeichel cergas untuk beraksi manakala pemain tengah, Nampalys Mendy, akan kembali bersedia selepas aksi perlawanan antarabangsa.