Claudio Ranieri mahu Leicester City segera bangkit selepas juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu mudah dijinakkan Chelsea, semalam.

The Foxes tewas 3-0 kepada Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan Diego Costa, Eden Hazard dan Victor Moses menjaringkan gol. Ia merupakan kekalahan keempat mereka dalam lima penampilan.

Ranieri, yang telah mengendalikan Chelsea pada 2000 hingga 2004, membidas persembahan longlai Leicester dan mengharapkan mereka akan bangkit dalam aksi Liga Juara-Juara berdepan FC Copenhagen.

"Ketika kamu berkunjung ke Stamford Bridge untuk berdepan Chelsea, setiap pemain seharusnya memberikan tumpuan sepenuhnya," kata Ranieri.

"Kami telah melakukan kesilapan dan telah memperbaiki permainan kami dalam separuh masa kedua perlawanan tetapi mereka masih berjaya menjaringkan gol ketiga. Kami harus bangkit dalam perlawanan seterusnya.

"Saya telah melupakan aksi separuh masa pertama kerana kami bermain dengan teruk sekali."