LEICESTER CITY 2 CLUB BRUGGE 1

Claudio Ranieri menghamburkan pujian terhadap barisan pemain Leicester City selepas mereka menjamin tempat ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara -- dan mencabar mereka untuk meneruskan rentak di peringkat Eropah ke Liga Perdana Inggeris (EPL).


Gol pada babak pertama yang disumbat oleh Shinji Okazaki dan Riyad Mahrez mengesahkan kemenangan 2-1 mereka ke atas Club Brugge di Stadium King Power, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan The Foxes menamatkan saingan peringkat Kumpulan G di tangga teratas.

Untuk itu, Ranieri mahu skuadnya memberi tumpuan terhadap aksi domestik memandangkan Leicester kini hanya dipisahkan dua mata di atas zon penyingkiran.

Pintu gol mereka telah ditembusi sebanyak 20 gol dalam 12 aksi liga musim ini serta sekadar meraih satu kemenangan sejak Oktober lalu.

"Sukar dipercayai. Kami mendahului kumpulan. Saya sangat gembira dan bangga dengan pemain saya.

"Saya sangat gembira untuk pengerusi, penyokong dan juga semua pihak. Ini adalah satu lagi pengembaraan -- sukar mempercayainya," kata Ranieri.

"Adalah penting untuk berada di puncak kumpulan tapi fikiran kami ketika ini perlu ditumpukan kepada EPL. Saya perlu mengerah pemain saya untuk aksi liga.

"Sesiapa sahaja yang kami lawan adalah sebuah pasukan hebat, kami perlu bermain di tahap yang sama seperti yang kami persembahkan dalam Liga Juara-Juara."

Leicester mendahului perlawanan dengan dua gol sebelum dipaksa bekerja keras untuk mmempertahankan kelebihan jaringan berikutan Brugge cuba bangkit menerusi gol solo Jose Izquierdo pada awal separuh masa kedua.

"Agak aneh. Kami bermain dengan begitu baik. Kami menguasai 70 peratus perlawanan dan mencipta banyak peluang," kata Ranieri lagi.

Saksikan sorotan perlawanan Leicester City lawan Club Brugge: