Ranieri gembira Leicester raih satu mata

By Chris Myson 2 January 2017
Ranieri gembira Leicester raih satu mata

MIDDLESBROUGH 0 LEICESTER CITY 0

Claudio Ranieri teruja menyaksikan Leicester City berjaya memastikan gawang gol tidak dibolosi buat kali kedua berturut-turut selepas seri 0-0 di Middlesbrough.


Perlawanan yang hambar menyaksikan penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itumeneruskan kemarau tanpa sebarang kemenangan di tempat lawan dalam 10 perlawanan musim ini.

Satu mata yang diraih di Stadium Riverside hadir selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas West Ham di laman sendiri dan Ranieri mendedahkan beliau cuba menerapkan strategi bertahan yang baru buat The Foxes.

"Kami cuba untuk mendapatkan mata yang minimum di sini," ujar Ranieri kepada Sky Sports. "Satu mata cukup penting bagi permulaan tahun 2017.

"Kami bertahan dengan baik dan mempamerkan semangat kami.

"Pemain-pemain telah mencuba untuk mencipta lebih daripada keputusan seri tetapi pasukan lawan menutup setiap percubaan dan serangan balas kami.

"Musim lalu, kekuatan kami adalah tidak dibolosi, mempamerkan aksi bertahan yang mantap dan cuba untuk menjaringkan gol. Kami berjaya untuk tidak dibolosi dalam dua perlawanan berturut-turut, kami harus meneruskan momentum ini."

Sementara itu, pengendali Boro, Aitor Karanka, berasakan pasukannya bermain dengan lebih cemerlang.

"Kami tidak boleh melupakan bahawa mereka telah memenangi liga musim lalu dan beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL), jadi mereka adalah pasukan yang hebat.

"Tetapi Boro telah mempamerkan permainan yang lebih cemerlang.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan. Kami hanya memerlukan jaringan -- kami memiliki peluang, namun gagal menyempurnakannya."

About Author

Chris Myson

Comment