Leicester City mengumumkan pengurus mereka, Claudio Ranieri, telah dipecat.

Jawatan pengurus berusia 65 tahun itu terancam musim ini berikutan kegagalan Leicester mengulangi prestasi mereka musim lalu yang menyaksikan mereka menjulang mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Foxes tewas tujuh kali dalam sembilan penampilan terakhir mereka, termasuk aksi pusingan 16, Liga Juara-Juara kepada Sevilla, semalam, selain hanya merekodkan lima kemenangan dalam 25 aksi liga musim ini, yang menyebabkan mereka terperosok satu mata di atas zon penyingkiran.

Sekalipun menampilkan aksi memberangsangkan dalam kekalahan 2-1 semalam, kelab itu mengambil keputusan untuk memecat pengurus itu yang membantu mereka memenangi gelaran, hanya sembilan bulan lalu.