Pengurus Arsenal, Unai Emery, berkata Aaron Ramsey, hanya perlu fokus pada latihan dan bermain daripada memikirkan mengenai masa depannya.

Kontrak Ramsey bakal berakhir pada penghujung musim ini dan bintang Wales itu masih belum menandatangani kontrak lanjutan selepas dikaitkan dengan Chelsea dan Barcelona.

Pemain berusia 27 tahun itu, yang tiba ke kelab itu daripada Cardiff City pada 2008, diketepikan daripada kesebelasan utama ketika tewas 3-2 kepada Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Emery meminta Ramsey untuk melupakan mengenai kontrak lanjutan, dengan berkata, "Saya telah berbincang dengan Ramsey. Saya mahu dia fokus kepada latihan dan perlawanan.

"Kami akan mengurus segala perbincangan dengan ejennya tetapi mahu memastikan Ramsey dapat memberikan fokus untuk perlawanan dan sesi latihan. Dia adalah pemain yang penting buat The Gunners," ujarnya.

Ramsey bakal kembali dalam kesebelasan utama berdepan West Ham, yang turut tanpa kemenangan selepas dua perlawanan.

"Manchester City adalah pasukan yang berbeza, jadi persiapan untuk setiap perlawanan turut berbeza.

"Aksi berdepan West Ham turut memberi kesukaran kepada pasukan. Kami perlu berjaga-jaga kerana mereka turut mahukan kemenangan."