Aaron Ramsey mendakwa Arsenal menarik balik tawaran kontrak kepadanya, namun tiada siapa di kelab itu yang memaklumkan kepadanya puncanya.

Pemain antarabangsa Wales itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dan Chelsea pada Januari depan selain kelab Serie A, termasuk Inter dan AC Milan, memandangkan dia mempunyai tempoh kurang setahun dalam perjanjiannya.

Ramsey berkata dia sudah bersedia untuk memeterai perjanjian baru dan bertambah baik tetapi rundingan itu gagal mencapai kata sepakat selepas The Gunners membatalkan tindakan mereka.

Justeru, pemain berusia 27 tahun itu meragui peluangnya untuk kekal di kelab itu sambil menuduh mereka menamatkan perbincangan tanpa memberi alasan kepadanya.

"Tiada perbincangan kontrak dijalankan pada masa ini, jadi tiada apa yang perlu dipertimbangkan," katanya kepada Standard Sport.

"Kita semua tahu bahawa kontrak baru sedang dibincangkan. Saya tidak pasti kenapa kerana beberapa minggu sebelum ini, kami telah mencapai kata sepakat dan saya sudah bersedia menandatanganinya.

"Sesuatu telah berlaku, saya tidak pasti apakah yang terjadi. Oleh itu, saya terpaksa akur, bekerja keras dan membantu pasukan ini seboleh mungkin.

"Mudah-mudahan, seseorang akan memberitahu saya mengapa saya menerima layanan sebegini jika ada alasannya. Pada masa ini, tidak, saya tidak mencari sebarang jawapan.

"Saya tidak memikirkan perkara lain selain bermain untuk Arsenal pada masa ini, jadi kita tunggu sahajalah apa yang akau berlaku pada masa akan datang.

"Perkara-perkara seperti ini berlaku dalam bola sepak dan saya hanya memberi tumpuan terhadap permainan ketika ini dan tidak terlalu memikirkan soal lain.

"Saya gembira dengan kehidupan saya. Anak kembar saya baru dilahirkan minggu lalu, jadi semuanya dalam keadaan baik untuk saya pada masa ini.

"Saya tidak boleh mengeluh, saya hanya akan turun dan cuba membantu pasukan ini sebaik mungkin. "