Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, telah bercakap dengan beberapa sasaran perpindahan dan berkata dia menyedari ada peningkatan minat untuk bermain di Anfield selepas mengikuti perkembangan kelab itu musim ini.

The Reds berada di tangga keempat, satu mata di depan Arsenal, dan mereka bersedia untuk menghadapi Middlesbrough dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris musim 2016-17 malam ini.

Klopp menyasarkan untuk membimbing kelab itu ke saingan Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2014-15 dengan menamatkan kempen dalam kelompok empat terbaik.

Ditanya sama ada reputasi kelab itu sudah dipulihkan, Klopp memberitahu Telegraph bahawa dia berasakan perubahan dalam perasaan pemain terhadap Liverpool.

"Saya rasa kami sudah kembali ke landasan," katanya. "Bukan bermaksud tidak hormati masa lalu. Saya benar-benar rasa kami dalam perjalanan -- kami sudah bermula. Sudah tentu ia adalah penting untuk kami berada di atas.

"Semua orang boleh melihat dari luar. Perasaan kini berbeza, beberapa orang berbeza-beza, tetapi asasnya adalah di sana. Ia masih ada kekuatan, saiz kelab ini dan kemudian perspektif yang berubah.

"Kami berasakan ia dalam rundingan. Mereka perlu melihatnya, mereka perlu rasai dan mereka perlu membuat keputusan. Pemain benar-benar positif tahun ini berbanding tahun lalu kerana mereka melihat cara kami, bola sepak kami dan itu begitu baik."

Sementara itu, Klopp, yang yakin mengenai peluang pasukannya menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas musim ini, menegaskan pemain yang ingin menyertai Reds untuk bermain dalam Liga Juara-Juara perlu mencari tempat lain.

Dia berkata: "Ia bukan untuk bersikap negatif tetapi jika Liga Juara-Juara adalah satu-satunya sebab mengapa pemain mahu datang, ia tidak masuk akal untuk mereka ataupun untuk kami.

"Adalah penting untuk pemain kerana itulah yang mereka mahukan tetapi ia kemajuan, pembangunan dan perspektif positif kelab adalah lebih penting untuk pemain. Kami kuat untuk berjaya pada masa hadapan. Untuk itu, kami perlukan pemain, sudah tentu. Kami mempunyai pemain yang sangat baik dan kami perlukan beberapa lagi. "

Liverpool dikaitkan dengan beberapa pemain ternama Eropah, termasuk penyerang Monaco, Kylian Mbappe, dan pemain sayap Roma, Mohamed Salah, tetapi Klopp memberi amaran bahawa yuran perpindahan besar tidak akan dibelanjakan dengan mudah.

"Pemain tidak akan menjadikan kami lebih baik serta-merta tetapi dengan jelas terdapat beberapa pemain di luar sana dan kami telah bercakap dengan mereka."