Pengarah am Juventus, Giuseppe Marotta, mendedahkan ejen Paul Pogba, Mino Raiola, telah menjana pendapatan sebanyak EUR27 juta selepas menyempurnakan perpindahan pemain kebangsaan Perancis itu kembali ke Manchester United.

United telah membayar sebanyak EUR105 juta, yang berpotensi menjadi EUR110 juta, untuk pemain berusia 23 tahun itu dan Juventus menyatakan Raiola telah mengaut keuntungan yang tinggi walaupun kelab itu memperoleh keuntungan sebanyak EUR72 juta hasil penjualan pemain tengah itu.

"Kami menandatangani Pogba dari Manchester United pada penghujung kontraknya sebanyak EUR1.5 juta sebelum kelab Inggeris itu memulakan prosedur undang-undang yang boleh menangguhkan pendaftarannya," ujar Marotta.

"Selepas empat tahun di Juventus, dia mengambil keputusan untuk kembali ke England. Dia mahu kembali ke England dengan apa cara sekalipun, dan bukan hanya kerana wang.

"Kami juga mampu memberikan permintaannya tetapi ia akan mencetuskan tekanan di dalam bilik persalinan pasukan.

"Penjualan Pogba ke United telah memberikan keuntungan sebanyak EUR105 juta dan bonus sebanyak EUR5 juta, klausa perpindahan jika dia menandatangani kontrak baru bersama United atau dijual dengan nilai lebih daripada EUR50 juta.

"Sebanyak EUR27 juta dibayar kepada Mino Raiola dan syarikatnya."