Ejen Zlatan Ibrahimovic, Mino Raiola, enggan memberikan jaminan bekas penyerang Sweden itu akan meninggalkan Manchester United pada penghujung musim ini.

Ibrahimovic menandatangani kontrak selama setahun di Old Trafford selepas meninggalkan Paris Saint-Germain dengan pilihan untuk kekal bersama pasukan untuk 12 bulan berikutnya.

Selepas meledak 26 gol dalam semua pertandingan musim ini, termasuk gol kemenangan Piala EFL berdepan Southampton, masih tiada lagi kata putus bahawa pemain itu akan kekal bersama United untuk musim hadapan.

Pengendali pasukan, Jose Mourinho, memberitahu penyokong supaya tidak terlalu mengharapkan Ibrahimovic akan kekal.

"Apa sahaja boleh berlaku," kata Raiola.

"Kami sedang memberikan tumpuan kepada trofi yang seterusnya. Piala EFL adalah gelaran yang penting buat Ibra dan Mourinho."

Raiola enggan memberikan lebih banyak maklumat, sebaliknya menegaskan perkara ini akan dibincangkan oleh pemain, ejen serta kelab.

"Saya tidak pernah bercakap mengenai kontrak pemain kepada pihak media, ia merupakan perkara sulit.

"Pada pendapat saya, kita harus menikmati saat ini dan melihat apa yang akan berlaku pada tahun akan datang," tambahnya.

Kejayaan Ibrahimovic di England telah membuktikan kepada pengkritiknya yang melihat bekas penyerang AC Milan, Inter dan Barcelona itu tidak mampu untuk menyesuaikan diri dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Dia telah memenangi banyak kejuaraan dan Piala EFL juga adalah sesuatu yang istimewa buat dirinya sebagai bukti kepada pengkritiknya yang tidak mempercayai kebolehan yang dimilikinya."