MANCHESTER UNITED 0 WEST BROM 0

Pengurus West Brom, Tony Pulis, yakin Jose Mourinho mampu membawa Manchester United memenangi Liga Perdana Inggeris, musim hadapan.


United meraih keputusan seri buat kali kelapan dalam 15 perlawanan liga di Old Trafford selepas berdepan West Brom yang menggunakan pendekatan bertahan sepanjang perlawanan.

Walaupun keputusan itu telah membuatkan United kehilangan dua mata berharga dalam usaha mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik, Mourinho menjelaskan beliau akan mengharungi musim kedua yang lebih mudah.

Pulis turut bersetuju bahawa United mampu menjadi pencabar utama EPL musim hadapan di bawah kendalian Mourinho.

"Mourinho adalah seorang pengendali yang terbaik dan ini merupakan tahun peralihan buat beliau," kata Pulis.

"Beliau akan menyasarkan takhta liga musim hadapan dengan mendapatkan pemain-pemain yang lebih berkualiti."

Pulis mempertahankan gaya permainan pasukannya yang bersaing untuk mendapatkan satu mata dan berpuas hati dengan keputusan itu.

"Jika kami memenangi perlawanan ini, ia akan menjadi tidak adil buat pasukan lawan. Kami gembira dengan usaha serta komitmen yang telah kami usahakan. United memiliki pemain-pemain yang berkualiti."