Pengendali West Brom, Tony Pulis, mahu Saido Berahino membangunkan semula kariernya selepas berhijrah ke Stoke City.

Berahino telah dikaitkan dengan perpindahan pada Januari sesudah hanya membuat empat penampilan buat The Hawthorns musim ini.

Selepas mengesahkan penghijrahan ke Stoke City, Pulis mahu pemain itu kembali menemui prestasi terbaiknya.

"Saya doakan yang terbaik buat Saido, dia menyertai pasukan yang baik," kata Pulis selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Sunderland.

"Stoke merupakan bekas majikan saya dan mereka telah mendapat seorang pemain yang bagus.

"Apa yang Saido perlu lakukan ketika ini adalah mengetepikan segala perkara mengarut yang ada di dalam kepalanya selama enam bulan sebelum ini dan cuba kembali menjadi seorang penyerang yang berbakat.

"Jika Stoke mampu membantunya, mereka akan mendapat seorang pemain yang hebat."

Persetujuan sama turut disuarakan pengendali Stoke, Mark Hughes.

"Kami teruja dengan pembelian ini," Hughes memberitahu media selepas mengikat United 1-1 di laman sendiri.

"Dia bergelut dalam tempoh 18 bulan sebelum ini, jadi fokus utama kami adalah untuk membantunya kembali ke tahap terbaik."