Tony Pulis telah dipecat selaku ketua jurulatih West Brom selepas mempamerkan prestasi lemah yang membawa skuad Baggies berada dalam kedudukan bahaya tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris.

Bekas pengurus Stoke City itu mempunyai reputasi sebagai pakar kelangsungan hidup pasukan tetapi West Brom menamatkannya pada 2017, selepas hanya memenangi tiga perlawanan Liga Perdana sejak Februari lalu.

Dua daripada kemenangan itu hadir dalam dua perlawanan pertama musim ini sebelum mula mengharungi 10 aksi tanpa kemenangan, dengan keputusan terbaru West Brom tewas 4-0 kepada penyandang juara, Chelsea.

Pemilik kelab itu, Guochuan Lai, menyaksikan sebahagian daripada penyokong di Hawthorns melaungkan nyanyian supaya Pulis dipecat dan kelab tersebut kini bertindak selepas menduduki tangga ke-17 dalam carta.

Pulis tiba di West Brom pada 2015 selepas membimbing Stoke dan Crystal Palace dalam Liga Perdana.

Jurulatih berusia 59 tahun itu dikaitkan dengan tugasan di Wales yang kosong berikutan peletakan jawatan Chris Coleman.

West Brom mengesahkan kontrak Pulis telah ditamatkan dalam satu kenyataan yang turut mengumumkan penolong ketua jurulatih, Gary Megson, akan mengambil alih tugas secara sementara.

"Keputusan ini tidak diambil secara mudah tetapi ia selalu demi kepentingan kelab," kata pengerusi Albion, John Williams.

"Keputusan pada akhir musim lalu dan setakat musim ini sangat mengecewakan.

"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap sumbangan dan kerja keras Tony (Pulis) dalam tempohnya bersama kelab. Kami berharap dia berjaya untuk masa depannya."

West Brom kembali beraksi dalam Liga Perdana dengan membuat kunjungan ke Wembley bagi menghadapi Tottenham, Sabtu ini.