Leicester City akhirnya menamatkan persoalan mengenai jawatan pengurus selepas Craig Shakespeare dipecat apabila melantik Claude Puel.

Puel, yang pernah mengendalikan Southampton pada musim lalu, bersetuju dengan kontrak sehingga Jun 2020 dan pemangku ketua jurulatih, Michael Appleton, akan kekal sebagai penolong pengurus.

Appleton yang memegang jawatan pengurus sementara, memacu kemenangan 3-1 ke atas Swansea City, Sabtu lalu, sebelum mengatasi Leeds United dalam saingan Piala Liga tiga hari kemudian, setelah Shakespeare dipecat akibat permulaan musim yang tidak meyakinkan.

"Ia satu penghargaan untuk menjadi pengurus Leicester City, sebuah kelab yang memiliki cita-cita dan nilai yang hampir sama dengan kemahuan saya," kata Puel.

"Peluang untuk membantu kelab adalah berdasarkan kejayaan yang diraih sebelum ini dan membuatkan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemilik, pemain-pemain, dan seluruh pasukan," katanya.

Walaupun dipecat The Saints musim lalu, Puel melalui musim yang membanggakan apabila menamatkan kempen liga di tempat kelapan dan layak ke final Piala Liga pada musim lalu.

Dia dikatakan mempunyai hubungan yang renggang dengan pemain-pemain, menyebabkan pihak pengurusan Southampton terpaksa memecatnya.

"Ketika memulakan proses mencari pengurus baru, pihak kelab segera mencari profil pengurus-pengurus yang bagus dan Puel memenuhi keperluan itu.

"Sewaktu bertemunya, keinginannya sangat jelas dan dia mahu membantu pasukan. Puel pantas menjadi calon yang mengujakan," ujar naib pengerusi Leicester City, Aiyawatt Srivaddhanaprabha.