Puel puji aksi cemerlang Forster gagalkan Liverpool

By Jannah Ali 20 November 2016
Puel puji aksi cemerlang Forster gagalkan Liverpool
Pengurus Southampton, Claude Puel, memuji penjaga gol, Fraser Forster, atas aksi hebatnya ketika mengikat Liverpool dengan keputusan seri 0-0.

Tuan rumah, Southampton, berjaya untuk mematahkan hasrat Liverpool yang berada di puncak liga untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (BPL) di St. Mary, malam tadi.

Penjaga gol kebangsaan England, Forster, mempamerkan aksi yang cemerlang selepas menidakkan percubaan bekas rakan sepasukannya, Sadio Mane, sebelum mengecewakan Roberto Firmino, ketika membuat percubaan pada separuh masa kedua.

Bercakap selepas perlawanan, Puel berkata: "Forster menampilkan aksi yang hebat ketika menyelamatkan pintu gol pada separuh masa pertama dan ia amat penting buat pasukan.

"Penting juga buat kami untuk mempunyai penjaga gol yang cemerlang ketika bertemu dengan pasukan yang hebat, yang turut memiliki deretan peluang untuk menghasilkan gol.

"Forster telah beraksi dengan sebaik mungkin, menyelamatkan pintu gol serta berusaha sedaya-upaya menyekat hasrat pasukan lawan.

"Tetapi semua pemain di sekelilingnya juga melakukan tugas dengan sangat baik."

Southampton kini berada di tangga ke-10 BPL.

Pemain pertahanan Southampton, Virgil van Dijk, berkata: "Saya berasa dalam beberapa situasi kami bernasib baik tetapi kami berjaya menamatkan perlawanan dengan tanpa bolos dan ia adalah mata yang baik untuk kami beraksi di tempat sendiri menentang pasukan yang hebat."

About Author

Jannah Ali

Comment