SOUTHAMPTON 2 INTER 1

Pengurus Southampton, Claude Puel, melaungkan pujian terhadap pasukannya selepas bangkit untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Inter Milan dalam saingan Liga Europa.


Dalam aksi di St Mary's awal pagi tadi, Mauro Icardi meletakkan kelab Serie A itu di hadapan sementara rayuan Dusan Tadic untuk mendapatkan sepakan penalti tidak didendahkan sebelum babak pertama berakhir.

Bagaimanapun, usaha Virgil van Dijk dan gol sendiri oleh Yuto Nagatomo menjamin kemenangan tuan rumah, sekali gus meletakkan Southampton di tangga kedua Kumpulan K dengan tujuh mata.

"Pemain saya mengharungi perlawanan yang hebat kerana kesemua senario pada malam ini tidak memihak kepada kami," jelas Puel kepada laman rasmi kelab itu.

"Kami menguasai separuh masa pertama, namun kami ketinggalan 1-0 selain tidak dihadiahkan sepakan penalti sebelum babak pertama berakhir.

"Penjaga gol mereka, Samir Handanovic, banyak membuat aksi menyelamat, namun kami terus berjuang dan pemain-pemain mengekalkan ketenangan dan kualiti mereka di atas padang. Kami bangkit untuk menjaringkan gol menerusi Wirgil dan gol kedua menyusul selepas itu.

"Kami mendapat ganjarannya pada malam ini."

Van Dijk berpendapat pasukannya sememangnya layak mengalahkan Inter yang menduduki tangga tercorot dengan hanya satu kemenangan dalam empat perlawanan.

"Apa yang penting adalah kami berhak di atas keputusan ini." kata ketua pasukan Saints itu kepada BT Sport.

"Kami mempamerkan aksi menarik, kami menguasai permainan seperti mana ketika di Milan (kalah 1-0 pada Oktober lalu) dan kami menghadiahkan diri kami dengan kemenangan."