Pengendali Southampton, Claude Puel, memuji persembahan anak buahnnya, terutama pada babak kedua, dalam kemenangan 3-0 ke atas West Ham pada Ahad.

Charlie Austin meletakkan pasukan pelawat di depan di minit ke-40 di Stadium London dengan percubaan tepat pertama sebelum Dusan Tadic dan James Ward-Prowse mengesahkan kemenangan kedua berturut-turut The Saints pada babak kedua.

Puel mengakui tidak berpuas hati dengan kegagalan anak buahnya menguasai permainan pada babak pertama, namun memuji kebangkitan pemainnya selepas gol pertama dijaringkan.

"Babak pertama nyata sukar buat kami sehingga gol Austin hadir," katanya kepada Sky Sports.

"Penting untuk kami memperbaiki keadaan ini.

"Namun, pemain mula bermain dengan corak sebenar pada babak kedua, kami mencipta banyak peluang. Kami kehilangan bola pada babak pertama dan tidak bermain dengan baik. Kami gagal menghormati taktik asal yang diterapkan.

"Bagaimanapun, saya gembira melihat pemain menyedari kesalaahan mereka dan mula bangkit pada babak kedua.

"Gol kedua sangat cantik, namun seperti saya katakan, kami memiliki banyak peluang. Sangat membahayakan jika gol kedua itu tidak hadir, gol ketiga pula menyenangkan hati pemain.

"Saya mahu melihat pemain mengekalkan konsentrasi mereka. Kami perlu memperbaiki beberapa perkara lagi, jadi penting untuk kami terus bekerja keras."