Pengurus Leicester City, Claude Puel, percaya kekalahan 2-1 kepada Manchester United, awal pagi tadi, adalah tidak adil terhadap skuad The Foxes.

Skuad United bimbingan Jose Mourinho mengatasi Leicester dalam perlawanan pembukaan musim Liga Perdana di Old Trafford.

Leicester membuat permulaan yang buruk, dengan penalti awal disudahkan Paul Pogba selepas tiga minit meskipun pasukan Puel memberi tindak balas dan menikmati penguasaan dengan baik.

Luke Shaw berjaya menggandakan kelebihan United ketika perlawanan berbaki tujuh minit sebelum pemain gantian, Jamie Vardy, menjaringkan gol dalam masa kecederaan.

Ia sudah terlambat untuk Leicester tetapi Puel berasakan pasukannya lebih berhak mendapat keputusan lebih baik dalam kunjungan mereka ke Manchester, di mana James Maddison, Ricardo Pereira dan Rachid Ghezzal membuat penampilan pertama mereka.

"Ia mengecewakan untuk pemain kerana mereka memberikan aksi terbaik," kata Puel. "Sudah tentu, dibolosi gol hanya beberapa minit selepas memulakan perlawanan adalah memalukan dan kami perlu membetulkannya.

"Sepak mula kami tidak cukup baik. Separuh masa pertama kami cukup cemerlang, memberi tekanan dan memiliki banyak peluang. Kami perlu menjaringkan gol pada masa itu, tempoh penguasaan yang kuat dalam separuh masa pertama.

"Kami memberi tekanan dan kami bermain menentang pasukan yang padat di padang, tanpa ruang, sukar.

"Kami menemui gerakan dan kualiti yang baik. Mungkin pada separuh masa kedua kami mempunyai tenaga tetapi saya rasa pada akhirnya ia adalah satu kekecewaan.

"Kami mendominasi perlawaan itu dengan bagus dan banyak peluang. Dengan mendapat banyak tendangan percuma, kami mampu melakukan lebih berkesan dengan situasi itu..

"Kadang-kala kita tidak bertuah dengan peluang untuk menjaringkan gol dalam pelbagai cara, saya gembira dengan persembahan tetapi ia lebih baik jika menang atau seri untuk peminat kami," katanya lagi.