Pengurus Leicester City, Claude Puel, percaya bahawa spekulasi yang mengaitkan pertahanannya, Harry Maguire, berpindah ke kelab lain adalah sesuatu yang bagus.

Manchester City dilaporkan berminat untuk membawa masuk Maguire dengan nilai perpindahan berjumlah GBP50 juta (RM269 juta) walaupun bekas pertahanan Hull City itu menyertai The Foxes pada Jun lalu dengan harga GBP17 juta (RM91 juta).

Sejak tiba di King Power, Maguire telah menampilkan aksi yang mantap sehingga membolehkannya melakukan penampilan pertama bersama skuad kebangsaan England.

"Saya rasa ia sesuatu yang bagus apabila memiliki seorang pemain yang dikaitkan dengan perpindahan. Ia menandakan kami mempunyai pemain yang baik," kata Puel.

"Dia seorang pertahanan muda yang baru sahaja menyertai kami pada musim ini tetapi telah berkembang dengan baik hasil daripada usaha gigih ketika sesi latihan. Dia perlu meneruskannya."

Dalam masa sama, Puel mengakui dia mungkin melepaskan beberapa pemain pada bulan ini selepas ketua jurulatih Nigeria, Gernot Rohr, menegaskan bahawa dua pemain Leicester, Ahmed Musa dan Kelechi Iheanacho, harus mendapatkan waktu bermain bagi menjamin tempat ke Piala Dunia 2018.

"Kita akan tahu nanti sama ada mereka memerlukan waktu bermain tetapi apa yang penting adalah keseimbangan pasukan.

"Iheanacho adalah pemain muda dan kami harus membangunkannya menjadi pemain yang lebih baik. Saya harap dia akan lebih banyak bermain pada babak kedua musim ini," tambahnya.