PSG sekat impian Arsenal terajui Kumpulan A

By Patric Ridge 23 November 2016 110
PSG sekat impian Arsenal terajui Kumpulan A
ARSENAL 2 PSG 2

Arsene Wenger berang dengan barisan pertahanannya yang disifatkan bersikap sambil lewa selepas pasukannya melepaskan peluang untuk menjuarai Kumpulan A apabila apabila dipaksa seri 2-2 oleh Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. 




Arsenal dilihat hampir untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan teratas selepas bangkit dengan dua gol menerusi sepakan penalti Olivier Giroud dan gol sendiri Marco Verratti untuk memadamkan jaringan pembukaan pelawat yang disumbangkan oleh Edinson Cavani.

Bagaimanapun, bola tandukan Lucas Moura yang cuba dikeluarkan Alex Iwobi tertampan ke dalam gawang sendiri ketika perlawanan berbaki 13 minit permainan untuk membolehkan PSG membawa pulang satu mata dari Stadium Emirates. 

Wenger tidak berselindung untuk melahirkan kekecewaannya dengan jaringan penyamaan PSG itu. 

"Kami melalui detik menarik dalam permainan, tapi kami gagal mendominasi," kata Wenger kepada BT Sport. 

"Kegusaran saya adalah kami memimpin perlawanan 2-1 dan membenarkan mereka untuk bangkit. Sukar untuk mempercayai betapa kami begitu mudah memberikan gol di penjuru pintu gol.

"Anda perlu mempertimbangkan dua perkara. Kesungguhan yang kami lakukan untuk meraih keputusan. Kami bertungkus-lumus dan berjaya bangkit daripada ketinggalan satu gol kepada mendahului 2-1, kemudian kami memberikan gol sendiri kepada lawan. 

"Tapi kami berdepan dengan sebuah pasukan yang bagus. Kami kekurangan sesuatu dalam aspek kreativiti, namun kami meraih satu mata. Ia tidak mencukupi tapi anda tidak tahu apa yang terjadi nanti."

Arsenal bakal berdepan FC Basel dalam pertemuan terakhir Kumpulan A pada 6 Disember depan, dengan harapan PSG keciciran mata ketika bertemu Ludogorets untuk melonjak ke puncak kumpulan. 
 

About Author

Patric Ridge

Comment