Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, menegaskan beliau sentiasa memberikan kepercayaan kepada Theo Walcott tetapi mengakui penyerang itu tidak menyerlah lebih awal seperti dijangkakan.

Walcott, yang terlepas beraksi di Perancis dalam saingan Euro 2016, merupakan satu tamparan hebat buat dirinya tetapi telah menonjolkan kebolehannya pada awal musim 2016-17, dengan meledak tiga gol dalam enam penampilan Liga Perdana.

"Theo merupakan kes yang istimewa, dia terpilih menyertai England pada usia 16 tahun untuk beraksi dalam Piala Dunia 2006," kata Wenger.

"Ia merupakan satu berita yang mengecewakan Walcott apabila tidak menyertai Euro 2016. Saya telah berhubung dengannya mengenai kekecewaannya kerana tidak beraksi bersama England.

"Dia sudah matang, dia telah berjaya mengharunginya selepas apa yang telah dijanjikan kepada pemain berusia 16 tahun dan cara dia menangani masalah ini, saya sentiasa percaya Walcott memiliki satu kelebihan yang unik.

"Perwatakan yang dimilikinya sangat menarik. Sebelum ini, Walcott memberikan 90 peratus ketika menyerang dan 10 peratus lagi untuk bertahan. Kini dia lebih seimbang dan telah menunjukkan tahap komitmen yang tinggi bersama The Gunners."