Prestasi Everton melebihi jangkaan -- Koeman

By Staff Writer 30 September 2016
Prestasi Everton melebihi jangkaan -- Koeman

Ronald Koeman mendakwa pasukan kendaliannya, Everton, telah memulakan musim baru Liga Perdana Inggeris dengan mantap, melangkaui jangkaan awal semua pihak meskipun tewas kepada Bournemouth minggu lalu.

Everton telah melakar empat kemenangan selepas enam perlawanan musim ini dan dijangka kembali mengutip tiga mata berdepan Crystal Palace di Goodison Park selepas tewas mengejut 1-0 di Stadium Vitality minggu lalu.

Koeman turut menggesa anak buahnya untuk kembali bangkit dengan mengekang Crystal Palace yang telah melakar tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini.

Membandingkan pertemuan Palace dengan Bournemouth, Koeman berkata: "Perlawanan esok berlainan kerana kami berdepan lawan yang memiliki corak permainan yang berbeza.

"Saya mahu melihat kebangkitan daripada pemain, namun hanya tewas sekali daripada enam perlawanan adalah satu perkembangan bagus.

"Jika kami mendapat keputusan yang baik esok, semua pihak pasti berasa gembira.

"Dengan tiga mata, kami akan menduduki tempat kedua liga -- melebihi jangkaan semua pihak."

Sementara itu, Koeman mengesahkan kapten pasukan, Leigthon Baines, tidak akan beraksi susulan dihimpit kecederaan hamstring di samping meluahkan rasa kecewa terhadap Republik Ireland yang memanggil James McCarthy meskipun pemain itu masih belum pulih sepenuhnya.

"James semakin pulih dan dia sepatutnya menjalani latihan minggu depan, namun skuad kebangsaan telah memanggilnya walaupun sudah enam minggu tidak beraksi.

"Kami terpaksa terima kerana itu undang-undang ditetapkan FIFA. Saya harap mereka melindungi pemain tu."

Berdepan Crystal Palace bakal menyaksikan Yannick Bolasie akan berdepan bekas majikannya buat kali pertama sejak berhijrah ke Goodison Park.

"Yannick pemain yang mantap," kata Koeman. "Dia sangat komited dan bekerja keras. Perlawanan ini memberi makna istimewa terhadapnya tetapi saya menasihatinya untuk kekal dengan corak permainannya -- jangan buat perkara berbeza daripada yang sepatutnya.

"Kami sedar kemampuannya dan kerana itulah, kami membawanya ke sini. Dia memiliki fizikal yang kuat dan mampu beraksi di posisi berbeza."

About Author

Staff Writer

Comment