Pengendali, Antonio Conte mengakui prestasi cemerlang Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) merupakan sesuatu di luar jangkaannya.

Kemenangan 1-0 ke atas West Brom hujung minggu lalu menyaksikan mereka telah menang sembilan perlawanan berturut-turut -- memberikan kelebihan tiga mata untuk mengungguli takhta liga.

Pada awal musim, Conte percaya pasukannya telah diketepikan daripada persaingan liga musim ini dan menyifatkan prestasi cemerlang Chelsea mengejutkan beliau.

"Saya menyedari bahawa sukar untuk kami mengekalkan momentum, bukan kerana tidak mempercayai kebolehan pemain-pemain saya tetapi saingan yang sangat sengit dalam liga ini," jelas Conte.

"Untuk memiliki sembilan kemenangan berturut-turut sudah cukup manis, saya berharap ia dapat dikekalkan tetapi saya tidak menjangkakan kami mampu bermain seperti ini.

"Segala-galanya sudah berubah. Empat atau lima bulan lalu, tiada siapa yang melihat Chelsea sebagai pasukan pilihan untuk bersaing memenangi takhta liga dan menempah slot dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

"Kami sedang berusaha untuk mempertingkatkan mutu permainan kami dan saya akan berpuas hati dengan persembahan pasukan saya."

Conte memberikan amaran kepada pemain-pemainnya supaya memberikan fokus bagi pertemuan dengan Sunderland.

"Kami menyedari Sunderland berada di dalam zon penyingkiran tetapi jika anda lihat lima perlawanan sebelum ini, mereka sudah mula mengorak langkah dalam memburu tiga mata penuh.

"Saya berpendapat kami sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan yang banyak dalam beberapa hari ini, kami sudah bekerja keras bagi menghadapi aksi penghujung tahun ini."