Pengurus Burnley, Sean Dyche, mengesahkan Nick Pope akan bertemu pakar untuk menilai kecederaan bahu yang dialami manakala Robbie Brady dihimpit kecederaan hamstring.

Laporan mencadangkan bahawa penjaga gol, Pope, yang merupakan sebahagian daripada skuad England dalam Piala Dunia, tidak dapat beraksi dalam tempoh beberapa bulan.

Pope mengalami kecederaan dalam aksi pertama kelayakan Liga Europa (UEL) Burnley berdepan Aberdeen pada Khamis lalu, ketika pemain gantian, Sam Vokes, hadir menjaringkan gol penyamaan untuk menyaksikan perlawanan seri 1-1.

Selepas Burnley seri tanpa jaringan dengan Montpellier dalam aksi persahabatan pra-musim, semalam, Dyche mengesahkna Pope mengalami dislokasi bahu tetapi masih lagi tidak mengetahui berapa lama diperlukan pemain itu untuk pulih.

"Dia akan bertemu pakar hari ini," kata Dyche. "Ia merupakan kecederaan yang agak serius tapi kami berharap dia tidak perlu direhatkan dalam waktu yang panjang."

Pemain sayap Republik Ireland, Brady, beraksi berdepan Montpellier tetapi dikeluarkan sebelum tamat separuh masa pertama kerana mengalami kecederaan hamstring.