EVERTON 0 MANCHESTER UNITED 2

Paul Pogba menghamburkan pujian terhadap persembahan Manchester United selepas mereka bangkit daripada aksi hambar kebelakangan ini untuk mengalahkan Everton 2-0, awal pagi tadi.


Dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Anthony Martial dan Jesse Lingard cemerlang meledak gol di Goodison Park untuk anak buah Jose Mourinho itu menang buat kali pertama dalam lima perlawanan.

United tercicir 15 mata dengan seteru, City, dan hasrat mereka untuk memburu gelaran kelihatan semakin samar.

Pogba, yang mengetuai United berikutan ketiadaan Michael Carrick dan Antonio Valencia, berasa senang dengan aksi mereka susulan prestasi tempoh perayaan Krismas yang mengecewakan.

"Perlawanan pertama tahun ini, ia kemenangan yang baik, 2-0," katanya kepada Sky Sports. "Kami mempunyai peluang hari ini, kami bermain agresif tetapi dengan cara yang positif, mencipta peluang. Pertahanan kami sangat baik, prestasi pasukan sangat baik hari ini.

"Kami melancarkan asakan. Kami mengadakan perbincangan pada separuh masa, kami tahu kami akan menjaringkan gol dan kami akan melaksanakannya. Kami percaya pada diri sendiri, kami hanya perlu bangkit dan hari ini saya fikir kami melakukannya.

"Saya fikir kami berhak untuk menang ke atas Leicester (seri 2-2), menentang Southampton (seri 0-0), tetapi ini adalah bola sepak dan hari ini saya fikir kami melakukan apa yang perlu kami lakukan."

Jaringan Lingard itu hasil daripada usaha pemain antarabangsa England itu menyusup ke dalam kotak penalti sebelum mencari sudut atas kanan untuk melepaskan rembatannya dari jarak 25 meter.

Dengan tujuh gol dalam sembilan perlawanan terakhir liga, Lingard menjadi tonggak penting buat Mourinho dan dia berhasrat untuk mengekalkan prestasinya.

"Saya mendorong diri sendiri untuk cuba mendapatkan seberapa banyak gol musim ini dan membantu pasukan memenangi perlawanan," katanya.

"Saya bermain di sebelah kiri hari ini dan ia memberi saya ruang untuk masuk dan mendapatkan bola lalu menyudahkannya.

"Ia salah satu jaringan terbaik saya. Adalah sentiasa bagus untuk menjaringkan gol, tidak kira sama ada gol dengan tolakan mudah atau gerakan yang hebat, saya tetap mengambil kesempatan itu.

"Kami hanya menempuh separuh perjalanan musim ini. Kami perlu mendekati setiap perlawanan dengan mentaliti yang betul, mentaliti kemenangan dan diharapkan kami akan menamatkan saingan di tempat teratas," katanya.