MAN UNITED 2 BURNLEY 2

Paul Pogba berkata Manchester United perlu belajar daripada kesilapan mereka selepas Burnley menyekat rentak kemenangan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu selepas aksi seri 2-2 di Old Trafford.


Burnley yang dibimbing Sean Dyche hampir meraih tiga mata dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu awal pagi tadi apabila penyerang, Ashley Barnes dan Chris Wood, menemui sentuhan pemusnah untuk mendahului 2-0.

Begitupun, jaringan penalti Pogba pada lewat permainan hasil gerakan Jesse Lingard memastikan kebangkitan United sebelum Victor Lindelof mengikat kedudukan dalam masa kecederaan, sekali gus meleburkan rentetan lapan kemenangan mereka.

"Kami perlu belajar daripada kesilapan ini, seterusnya memulakan perlawanan dengan cara yang berbeza," kata Pogba kepada wartawan.

"Seperti yang dikatakan pengurus, kami perlu kuat dan agresif kerana itulah yang mereka lakukan dalam separuh masa pertama. Kami bermain seperti kami menuju kemenangan 1-0 atau 2-0, itulah kesilapan kami.

"Kebangkitan kami adalah sesuatu yang positif tetapi keputusannya mengecewakan. Reaksi itu bagus bahawa kami berjaya mengelak kekalahan, namun kami tercicir dua mata yang boleh kami menangi."

Gandingannya di bahagian tengah, Nemanja Matic, sependapat dengan Pogba apabila menyatakan United sepatutnya menewaskan Burnley yang melebarkan rekod tidak kalah dalam EPL kepada enam perlawanan.

"Saya fikir kami kehilangan dua mata. Kami menjangkakan sesuatu yang lebih baik dalam permainan ini," katanya. "Kami mahu menang tetapi memandangkan kami bangkit daripada ketinggalan 2-0, kami seharusnya gembira meraih satu mata.

"Bagaimanapun, kami perlu bermain dengan lebih baik. Kami perlu melihat di mana kesilapan dilakukan, memperbaikinya dan bermain seperti aksi kami dalam tujuh atau lapan perlawanan terakhir.

"Tetapi ini adalah EPL, setiap pasukan mempunyai kualiti dan akan menghukum anda sekiranya anda melepaskan peluang, seperti Burnley.

"Kami perlu beraksi dengan lebih baik lagi. Kami tidak berada dalam mentaliti sebenar dalam tempoh 75 minit pertama permainan.

"Oleh itu, kami perlu melihat semula kesilapan sendiri. Untuk memperbaiki diri sebagai sebuah pasukan supaya kami boleh bergembira semula.

"Namun, saya perlu ulangi -- aksi hari ini tidak cukup baik," katanya lagi.