Paul Pogba berkata dia telah menolak tawaran untuk menyertai gergasi LaLiga, Barcelona dan Real Madrid, untuk kembali bersama Manchester United kerana dia mahu membuktikan kemampuannya di Old Trafford.

Pemain kebangsaan Perancis itu meninggalkan Juventus untuk bersama United dengan status sebagai pemain termahal di dunia selepas nilai perpindahannya dilaporkan mencecah hampir GBP90 juta pada Ogos 2016.

Dia berpeluang untuk meneruskan kerjayanya bersama kelab terbaik di dunia tetapi memilih untuk kembali ke England.

"Saya kembali ke Manchester United kerana saya memiliki sasaran tertentu. Ia merupakan cabaran yang besar buat saya," kata Pogba kepada SFR Sport.

"Saya boleh memilih untuk menyertai Real Madrid atau Barcelona, yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya. Tetapi saya mengikut hati saya untuk kembali ke United.

"Saya mahu memenangi trofi bersama Manchester United, saya tidak pernah menang apa-apa di sini. Saya sentiasa memberitahu kepada diri bahawa satu hari nanti saya akan kembali ke United.

"Saya berhijrah ke Juve bagi mendapatkan lebih banyak pengalaman dan saya sudah bersedia berjuang untuk United.

"Saya tidak memikirkan mengenai nilai perpindahan saya. Saya kembali untuk bermain bola sepak."