Paul Pogba bakal terlepas aksi 'derby' Manchester selepas dibuang padang ketika beraksi untuk United berdepan Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

United mendahului 3-1 di Stadium Emirates, dengan Pogba mempamerkan aksi cemerlang bagi menghasilkan dua bantuan jaringan -- gol pertama yang diledak oleh Antonio Valencia serta gol ketiga United yang disempurnakan oleh Jesse Lingard.

Pogba yang kehilangan bola sewaktu melancarkan serangan pada minit ke-74, menghulurkan kakinya hingga terpijak pertahanan lawan, Hector Bellerin.

Pengadil perlawanan, Andre Marriner, mengambil keputusan untuk melayangkan kad merah, yang menyaksikan Pogba dibuang padang buat kali pertama dalam perlawanan EPL.

Pogba berdepan penggantungan tiga perlawanan -- walaupun United akan membuat rayuan, pemain kebangsaan Perancis itu tetap akan terlepas aksi bertemu Manchester City, West Brom dan Bournemouth.

Pemain termahal United itu turut mungkin berdepan hukuman selanjutnya selepas bertepuk tangan ke arah pengadil yang mengarahkannya keluar padang.

Kali terakhir Pogba dilayangkan kad merah adalah dalam perlawanan Serie A ketika beraksi bersama Juventus bertemu Palermo pada Mei 2013.

United berkemungkinan tanpa pemain tengah, Michael Carrick dan Marouane Fellaini, dalam pertemuan bertemu City pada 10 Disember ini.