Legenda pecut dunia, Usain Bolt, berkata bintang Liga Perdana Inggeris, Paul Pogba dan Raheem Sterling, memberikan galakan kepadanya untuk mengejar impian menjadi pemain bola sepak profesional.

Bolt, yang juga juara lima kali Sukan Olimpik, sedang berkira-kira untuk berhenti daripada pemburuannya itu selepas gagal mengikat kontrak besama pasukan Liga Australia, Central Coast Mariners.

Pemain berusia 32 tahun itu menjaringkan dua gol dalam aksi ujian pra-musim, namun dikatakan mempunyai sentuhan pertama seperti "trampolin" oleh bekas pemain kebangsaan Republik Ireland, Andy Keogh.

Bolt memberikan reaksi balas kepada penyerang Perth Glory itu dengan mendedahkan dia menjadi inspirasi kepada penyokong-penyokongnya yang berprofil tinggi.

"Mereka boleh memperkatakan apa yang mereka mahukan," kata Bolt kepada Sky Sports.

"Saya bermula dengan acara olahraga dan ramai mengkritik sewaktu awal karier saya dahulu.

"Saya membuktikan kepada mereka melalui kejayaan daripada tahun ke tahun.

"Bola sepak merupakan impian saya. Saya pasti dia (Keogh) juga tidak memiliki kemahiran yang hebat sewaktu mula menceburi bidang itu.

"Saya tidak mengambilnya secara peribadi. Saya hanya tergelak melalui perkara ini.

"Saya pernah menemui Patrick Viera dan ramai nama-nama besar yang lain.

"Saya bercakap dengan Pogba dan Sterling sebelum ini.

"Mereka gembira dengan apa yang saya lakukan.

"Mereka menyuruh saya mencuba sedaya-upaya.

"Mereka memberikan sokongan kepada saya dan saya tidak perlu gusar kerana terdapat pemain biasa yang memperkecilkan saya.

"Ramai pemain di tahap tertinggi yang tahu ini adalah impian yang saya perlu kejar," katanya lagi.

Bolt, yang juga seorang peminat Manchester United, mendakwa dia memperoleh banyak tawaran daripada pasukan-pasukan lain selepas meninggalkan Mariners.