MANCHESTER UNITED 3 STOKE CITY 0

Paul Pogba menegaskan Manchester United tidak akan menyerah kalah untuk terus mencabar Manchester City dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).


Pasukan kendalian Jose Mourinho itu merapatkan jurang dalam saingan di puncak kepada 12 mata susulan kemenangan 3-0 ke atas Stoke City, awal pagi tadi, selepas seteru mereka itu menempa kekalahan pertama musim ini di Liverpool.

Pogba memainkan peranan besar apabila umpanannya pada separuh masa pertama disudahkan Antonio Valencia dan Anthony Martial ketika berdepan pasukan bergelut itu sebelum Romelu Lukaku mengesahkan kemenangan mereka ketika menuju 18 minit terakhir permainan.

"Jelas sekali anda melihat Manchester City berada di hadapan kami dan mereka kalah buat pertama kalinya," kata Pogba selepas dinamakan pemain terbaik perlawanan oleh Sky Sports.

"Kami sentiasa mahu menghambat mereka, jadi baguslah mereka kalah.

"Tetapi, kami perlu memikirkan tentang diri sendiri dan memikirkan soal kemenangan kerana kami telah kehilangan banyak mata.

"Kami tidak mengenang masa lalu lagi, kami sedang menanti perlawanan seterusnya. Kami hanya mahu mengejar City, memenangi mata yang kami tercicir dan itu sahaja.

"Kami perlu memberi tumpuan kepada diri sendiri, terus menang dan saya fikir kami akan baik-baik saja," katanya.

Pogba kini sebaris dengan Kevin De Bruyne dan Leroy Sane yang menghasilkan tujuh bantuan gol musim ini.