Jose Mourinho percaya, Paul Pogba mampu menjadi penyumbang gol yang banyak buat Manchester United sepertimana dilakukan Frank Lampard untuk Chelsea.

Pemain Perancis itu telah pun meledak enma gol dalam 27 penampilan bersama United musim ini, namun Mourinho percaya Pogba akan meledak lebih banyak gol selepas melakukan perubahan taktikal terhadap tugas pemain itu di atas padang.

"Saya tidak melakukan sebarang perkara yang istimewa terhadap mentalitinya. Dia sememangnya seorang pemain yang berkualiti," ujar Mourinho oleh The Daily Express.

"Saya hanya cuba mengubahsuai permainannya di mana dia mampu tampil lebih berbisa dan memastikan dia berada di posisi untuk menjaringkan gol.

"Saya teringat ketika saya tiba di Chelsea pada tahun 2004. Dalam perlawanan pertama saya, saya menerapkan formasi 4-4-2, dengan Lampard beraksi di sebelah kiri tengah padang.

"Saya mengambil masa beberapa bulan untuk memahami bahawa dia memiliki potensi untuk menjaringkan gol yang banyak dan untuk itu saya mengubah cara saya.

"Apabila kamu cuba mengenali pemain kamu dengan lebih baik, kamu akan nampak hasil yang menakjubkan.

"Ketika ini Paul sangat gembira dengan cara pasukan ini bermain. Pada saya dia mampu menjaringkan gol yang banyak jika kami meletakkan sasaran itu."

Lampard, yang berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris sebanyak dua kali bersama Mourinho, merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah kelab itu dengan 212 gol.