Ole Gunnar Solskjaer menegaskan bintang Manchester United, Paul Pogba, tidak terkesan dengan spekulasi yang mengaitkannya dengan gergasi LaLiga, Real Madrid.

Cakap-cakap mengenai perpindahannya ke Santiago Bernabeu semakin meruncing selepas Pogba memperkatakan ia merupakan impiannya untuk beraksi di bawah kendalian Zinedine Zidane yang kembali menyertai Madrid bulan lalu.

Spekulasi itu berterusan apabila Zidane meluahkan minatnya terhadap bintang juara dunia Perancis itu, yang pernah menarik perhatian Madrid sebelum menyertai Juventus pada 2016.

Bagaimanapun, pengurus United, Solskjaer, berkata Pogba masih komited terhadap kelab itu sepanjang musim ini walaupun berdepan khabar angin sedemikian.

"Ia mungkin satu kempen, ia mungkin akhbar. Anda tidak tahu apa yang sedang berlaku.

"Namun, berdasarkan perbincangan saya dengan Paul, dia sentiasa bersikap positif.

"Saya tidak nampak sebarang perubahan pada dirinya sewaktu kami berbincang.

"Dia sedang fokus untuk meningkatkan prestasi dan dia merupakan pemain yang penuh kebanggaan.

"Dia sentiasa memberikan yang terbaik.

"Selepas 15 minit (ketika tewas 0-1 kepada Barcelona dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah Rabu lalu), benar, kita boleh memperkatakan tentang Fred dan Scot (McTominay), namun saya berasakan Pogba membuatkan kami beraksi baik.

"Dia membenarkan kami mendapatkan rentak, terutama dalam babak pertama.

"Kami agak kendur pada penghujung perlawanan, namun usaha yang dilakukannya secara fizikal amat berkesan.

"Dia memberikan kesan fizikal terbesar (ketika menentang Barca), jadi dia tidak pernah berpaling daripada menyarung jersi United.

"Ia usaha yang bijak dengan tingkah laku yang baik," katanya.

Pogba telah menjaringkan 11 gol dalam Liga Perdana -- di samping sembilan bantuan jaringan -- dan 14 secara keseluruhan musim ini.

United kini di tangga keenam dan akan meneruskan pemburuan empat tangga teratas menjelang pertemuan dengan West Ham di Old Trafford, awal pagi esok.