Ole Gunnar Solskjaer berjanji kepada bintang tengah, Paul Pogba, bahawa dia boleh mendapatkan cabaran baru di Manchester United.

Sebulan lalu, bintang Perancis, Pogba, berkata dia mahukan cabaran baru di tempat lain selepas wujud laporan Juventus dan gergasi LaLiga, Real Madrid, mahu membawa pemain berusia 26 tahun itu keluar dari Old Trafford.

Pogba kembali ke Liga Perdana Inggeris menerusi perpindahan rekod dunia ketika itu pada Ogos 2016 dan walaupun dikritik gagal mempamerkan tahap konsisten, dia tetap membantu Perancis menjulang Piala Dunia di Russia tahun lalu.

Solskjaer, yang menggantikan Jose Mourinho selaku pengurus sejak Disember tahun lalu, mendedahkan dia bercakap dengan Pogba beberapa kali dan tidak terperanjat dengan kenyataan itu.

"Saya sering berkata bahawa Pogba adalah pemain hebat dan dia tidak pernah mencetuskan masalah," katanya.

"Apabila kami menurunkannya beraksi dan jika kami terus memberinya peluang, dia akan memenangi anda.

"Saya tidak sedih dengan apa yang dia katakan kerana kami melalui banyak perbualan dan tahu apa yang Pogba fikirkan. Saya boleh berikannya cabaran baru."

Cabaran baru adalah apa yang dijangka oleh Alexis Sanchez apabila menyertai United daripada Arsenal pada Januari tahun lalu.

Namun, bintang Chile itu gagal menyinar dan bergelut untuk menyamai pencapaian dalam tempoh lebih tiga tahun bersama The Gunners selepas hanya menyumbat lima gol dalam 45 penampilan buat United.

Sanchez kini diketepikan akibat kecederaan paha yang dialami sewaktu Copa America tetapi dia telah diberi amaran untuk membuktikan kemampuannya dalam skuad kendalian Solskjaer itu.

"Saya akan membantu," tambah Solskjaer.

"Saya hanya boleh jawab bahawa anda tidak boleh berikan mereka segalanya. Mereka harus berusaha dan mendapatkan peluang.

"Sanchez adalah pemain berkualiti dan dia menunjukkannya dalam saingan Copa America."