Manchester United sekali lagi bakal beraksi tanpa Paul Pogba apabila mereka menjadi tuan rumah aksi menentang West Brom dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini.

Pogba sebelum ini terlepas perlawanan United menentang Middlesbrough dan aksi Perancis menentang Luxembourg dan Sepanyol sejak mengalami kecederaan hamstring dalam saingan Liga Europa menentang Rostov, dua minggu lalu.

Pemain yang membuat rekod bayaran perpindahan terbesar dunia itu tidak akan pulih tepat pada masanya untuk bertemu West Brom -- bermakna bos, Jose Mourinho, dijangka menurunkan skuad tanpa lima pemain kegemaran untuk menentang skuad Tony Pulis di Old Trafford.

Sejurus selepas kecederaan, Pogba -- yang membuat 41 penampilan dalam semua pertandingan United -- mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana mendoakan untuknya dan berikrar akan menjadi 'Pogback' tidak lama lagi.

Mourinho turut kehilangan Ander Herrera dan Zlatan Ibrahimovic akibat digantung manakala pertahanan England, Chris Smalling dan Phil Jones, mengalami kecederaan semasa rehat antarabangsa.

"Oleh itu, kami hilang empat (pemain) dan saya fikir Paul Pogba juga tersingkir, jadi kami hilang lima," kata Mourinho seperti dipetik laman web kelab.

United berada empat mata di belakang pasukan tangga keempat, Liverpool, dengan dua perlawanan dalam tangan dan tidak tewas dalam 18 perlawanan terakhir liga.

"Pengurus sedang menunggu kepulangan (pemain) dari Amerika Selatan, Sergio Romero, Antonio Valencia dan Marcos Rojo, sebelum mengambil kedudukan memuktamadkan rancangannya untuk hujung minggu ini," kata United dalam satu kenyataan.